Thursday, January 27, 2011

Kilauan Kaca Episod 10

Kilauan Kaca Episod 10

Petang tu, Man mula niaga lewat sikit dalam 6.30 petang. Pembantu Man, Aboi dah lama menunggu dan Aboi nampak Man kurang ceria hari tu. Walaubagaimanapun, Man tetap mesra dengan pelanggan. Kemesraan dengan pelanggan itu adalah salah satu daya penarik yang membuatkan perniagaan Man berjaya. Sekali fikir, nak saja berhenti niaga burger, mungkin Man buat bisnes lain yang ada glamour sikit. Niaga insuran ker, niaga jualan lansung ker. Man tengok orang yang kerja macam tu pakaian kemas, ke sana ke sini pakai tali leher, kereta pun dahsyat.

Ada sorang kawan Man tu masuk jualan lansung, niaga barang kesihatan. Baru 3 bulan masuk, dah pakai kereta mewah, dah bergelar jutawan. Tapi Man pelik juga, nama jer jutawan. Tapi kalau minum kedai mamak, kebanyakannya Man yang kena belanja, betul ke jutawan tu. Dah lah tu, kawan yang sorang tu pinjam duit Man RM 300.00 dari dulu tak bayar-bayar. Patut dah bergelar jutawan, faham-faham le nak pulang duit tu. Entah, mungkin jutawan palsu untuk mengaburi mata orang.

Tapi Man niaga burger memang ramai pembeli setiap hari. Man jual satu burger daging RM 1.70, burger ayam 1.90 satu. Tolak campur, keuntungan yang Man dapat dari sebiji burger antara 80 sen hingga seringgit. Kalau kawan Man yang jutawan jualan lansung tu, Man pun tak tahu macam mana nak kira untungnya. Sikit-sikit jutawan, sikit sikit jutawan, naik menyampak pulak. Tapi sebab dia tu jutawan, ramai awek keliling pinggang.

Man rasa, nak saja masuk jualan lansung macam tu. Biar orang panggil Man jutawan. Bukan apa, perniagaan burger Man akan terus jalan juga senyap-senyap. Yang penting, nanti bakal pak mertua tanya Man kerja apa, Man boleh kata bisnes juta-juta, jutawan Melayu. Kalau gitu, pasti keluarga Yanti nanti tak menolak malah tentu menyokong 200 peratus pulak.
Malam tu kakak Yanti, Azizah telefon, bertanya khabar. Kalau kakaknya Azizah telefon, maka Yanti jawablah, kalau adik beradik lain belum tentu. Selain itu, pastinya soalan tentang Man Burger, jejaka pilihan Yanti.

"Yanti. Kakak baru balik dari rumah abang Kamal ni, bincang pasal kau Yanti. Empat orang saja yang ada, emak, abang kau Kamal, Fuad dan kakak, yang lain tak ada". Kata Azizah.

"Apa yang dibincangkan tadi kak, nampak macam ada perkara penting jer". Kata Yanti.

"Biasalah. Pasal masa depan kau. Kakak rasa elok kau berehat dulu buat masa ni, jangan terlalu tertekan sangat. Kakak tahu, kau tak senang dengan sikap abang-abang kau dalam perkara ini". Kata Azizah.

"Berehat ? Apa maksud kakak". Kata Yanti.

"Yanti. Esok sepupu kita Azmi akan ke rumah Yanti, untuk kasi satu benda. Barang ni mak yang usahakan". Kata Azizah. Yanti kehairanan.

"Barang ? Barang apa kak ". Tanya Yanti untuk tahu.

"Ada sebotol air dan satu gelang untuk kau pakai". Kata Azizah.

"Air dan gelang apa ni kak ?" Yanti semakin mendesak supaya kakaknya beri jawapan.

"Air dan gelang ni mak dapat dari orang alim. Untuk pendinding kau". Kata Azizah.

"Apa ni kak...Maksud kakak, Yanti dah kena ilmu. Kenapa ? Apa yang telah berlaku pada Yanti sampai macam ni?". Kata Yanti sambil suaranya sudah mula sebak.

"Yanti, kita ikhtiar dulu. Manalah tahu kalau-kalau kau..." Kata Azizah kemudian dipotong Yanti.

"....Kalau-kalau aper kak. Kalau-kalau Man yang buat ilmu hitam pada Yanti ker ?" Sampuk Yanti.

"Bukan Yanti. Kan kita berusaha, kadang-kadang ganggunan ini ada pada sesetengah orang terutama wanita. ". Kata Azizah.

"Tidak kak, kalau Azmi datang ke sini, Yanti tak mahu terima apa-apa pada dia. Beritahu dia jangan datang sini. Yanti tak mahu diganggu". Kata Yanti dengan suara yang agak tinggi.

Kemudian Yanti memutuskan perbualan walaupun kakaknya itu seolah-olah mahu meneruskan perbualan. Yanti menangis teresak-esak sendirian. Sekarang, seolah-olah tiada lagi walaupun seorang dalam keluarga Yanti yang menyokong Yanti. Mulanya Yanti rasa kakaknya Azizah menyebelahi Yanti, tetapi sekarang tidak lagi, mungkin terpengaruh dengan abangnya Fuad dan Kamal. Yanti rasa tidak mahu berdepan dengan keluarganya lagi. Rakan serumahnya, Noor risau melihat Yanti menangis.

Sedang menangis tu, yanti telefon Man yang waktu itu sedang sibuk berniaga.

"Man tolong Man. Yanti tak kena ilmu hitam, tidak Man. Yanti masih siuman". Kata Yanti sambil menangis. Man terkejut sangat sebab dia tak tahu hujung pangkalnya.

ikuti sambungannya nanti..episod 11.

Saturday, January 15, 2011

Kilauan Kaca Episod 9

Kilauan Kaca Episod 9

Sampai di JB, Man terus bersiap nak niaga burger dalam jam 6.00 petang. Dalam hati Man masih tertanya-tanya apa perkhabaran Yanti. Dari tadi Man sms Yanti tak berjawab. Yanti sebenarnya tidur di rumah kawannya yang sama waktu belajar dulu di Gombak. Bukan apa, cuma nak cari ketenangan. Isnin yanti ambil cuti sehari dan balik ke JB sebelah petang. Dalam bas, Yanti sms Man.

"Man apa kabar ? Boleh ambil Yanti di Larkin dalam pukul 4 ni ?". Sms Yanti.

Man terkejut dan amat ternanti-nanti sms Yanti. Man kata boleh dan ambil Yanti di Larkin. Kemudian mereka pergi minum di Stulang Laut, makan mee rebus Johor. Di situ, Yanti berterus terang dengan Man yang keluarganya menentang untuk menjadikan Man sebagai calon suami. Man yang pada mulanya lapar dan sukan makan mee rebus Johor, tiba-tiba saja terasa kenyang dan tak lalu makan. Mandapat berita tu, Man berkata.

"Man faham kedudukan keluarga Yanti. Bapa Yanti orang kaya, adik beradik Yanti semua belajar tinggi-tinggi dan kerja hebat-hebat. Tak macam Man. Man penjual burger cabuk. Keluarga Man pun orang kampung, bukan orang kaya. Man sedar siapa diri Man". Kata Man dengan nada sayu. Yanti jadi sedih.

"Tidak Man. Yanti tak kisah siapa Man, Yanti kenal Man pun sebagai peniaga burger. Man tak patut rasa rendah diri". Kata Yanti seolah-olah memberi peransang untuk Man meneruskan perhubungan.

"Apa keluarga Yanti kata pasal Man ?". Tanya Man.

Yanti tak jawab soalan itu. Sambil mengelengkan kepala, Yanti sebaliknya bertanya soalan semula pada Man.

"Man. Sudikah Man berkorban untuk Yanti dan sehidup semati dengan Yanti". Tanya Yanti, soalan ini diajukan dalam sms semalam yang Man tak berapa boleh jawab.

Kali ini Man berhati-hati untuk jawab. Man cuba melencong dan bertanyakan soalan yang mungkin sukar dijawab Yanti pula .

"Yanti. Bagaimana Yanti, sanggupkah Yanti berkorban untuk Man dan sehidup semati dengan Man pula ?". Kata Man.

Yanti tidak jawab terus dan Yanti terdiam. Yanti memandang ke arah air laut dan melihat ke seberang laut sana dalam kawasan Singapura. Yanti lihat jambatan dan dan aliran kereta yang tidak henti-henti di atas jambatan Tambak Johor itu. Dalam hati Yanti, orang Johor dan Singapura pun yang berbeza negara boleh hidup harmoni, inikan pula orang Malaysia, sesama bangsa Melayu. Yanti kata.

"Man. Kalau Yanti ke Singapura, adakah Man nak ikut Yanti ? Man sanggup berkorban untuk Yanti". Kata Yanti.

Man tahu, Singapura itu hanya perumpamaan sambil Man memandang ke arah jambatan Tambak Johor.

"Yer Man sanggup Yanti. Tapi Man tak mahu rasa bersalah dan dipersalahkan". Kata Man. Hairan dengan perkataan itu, Yanti tanya semula.

"Apa yang rasa bersalah dan dipersalahkan itu Man ?". Tanya Yanti sedikit kehairanan.

"Yer, Man tahu, kalau Man ambil Yanti sebagai isteri, nanti Yanti akan dibuang dari keluarga Yanti. Sanggupkah Yanti membelakangkan mereka. Man tak mahu dipersalahkan kelak". Kata Man.

"Man. Kenapa keluarga Yanti menyiksa perasaan Yanti ? Kenapa mereka nak sekat dan halang kebahagian Yanti ? Kenapa Man ?" Kata Yanti.

"Jawapannya mudah Yanti. Sebab Man penjual burger, ibarat sampah masyarakat". Kata Man sinis.

"Man... Man tak sepatutnya rendah diri macam tu. Apa kurangnya peniaga burger macam Man. Orang yang berjawatan besar, belum tentu dapat membahagiakan Yanti". Jelas Yanti.

Mereka pulang ke rumah awal sebab Man nak berniaga burger malam tu. Pertemuan mereka hari itu, Yanti menyatakan hasrat untuk 'kahwin lari' dengan Man. Bagaimanapun, Man agak keberatan. Pengorbanan ini agak mahal. Adakah kerana inginkan seorang wanita, Man terpaksa memisahkan Yanti dengan ibu, bapa dan adik beradik Yanti. Man fikir, adakah Yanti akan pasti bahagia di samping Man selepas kahwin tanpa restu keluarga nanti. Sebagai lelaki, Man masih ada pertimbangan. Man mahu berbincang dengan kedua ibubapanya terlebih dahulu kalau itu yang Yanti hasratkan.

Manakala Yanti anggap, tidak ada jalan lain selain 'kahwin lari' dengan membelakangkan keluarganya sendiri. Yanti tak mahu kehilangan Man. Yanti rasa, tidak ada orang lain yang boleh menggantikan Man dalam hidupnya. Mana mungkin Yanti boleh tertambat dengan lelaki lain setelah hatinya dicuri seorang jejaka hensem bernama Man. Kecantikan Yanti jadikan Yanti ramai peminat dan ramai lelaki ingin mendekatinya sama ada lelaki bujang dan yang dah beristeri. Tapi Yanti anggap mereka sebagai sahabat sepejabat dan kenalan biasa saja. Tidak seperti Man, Yanti letakkan Man di singgahsana yang tinggi di ufuk cintanya.

.....BERSAMBUNG KE EPISOD 10

Wednesday, January 12, 2011

Kilauan Kaca Episod 8

Kilauan Kaca Episod 8

Man jaga dari tidur jam 6.00 pagi, dengar azan dari masjd atau surau berhampiran. Selepas solat subuh, Man periksa telefon, tak ada satu pun miscal atau sms. Man masih tertunggu-tunggu balasan sms dari Yanti yang sejak malam semalam, Yanti tak balas sms Man. Man tengok semula telefonnya, sms terakhir dari Yanti adalah dalam jam 7.45 malam bila Yanti sampai ke rumah mak ayahnya.

"Man, Yanti baru sampai ke rumah ni. Doakan Yanti yer". Itu sms terakhir dan Man tertanya-tanya apa berlaku kepada Yanti. Man periksa semula hp nya dan dapati ada lebih 10 smsnya yang Man hantar tapi Yanti tak jawab, antaranya.

"Yanti. Man tidur di hotel Hoover, Jalan Masjid India. Cantik juga hotel ni". Sms Man.

"Man tengah makan ni. Yanti buat apa". Sms Man

"Yanti. Ada apa-apa cerita di sana". Sms Man.

"Yanti. Esok nak balik JB pukul berapa. Kalau boleh nak balik awal sikit". Sms Man.

"Tak balas pun sms Man, tengah sibuk ker". Sms Man.

"Man tengah jalan-jalan kat Mydin ni. Banyak barang kat sini". Sms Man.

Man baca satu-satu sms tu dan hairan kenapa satu pun tak berbalas. Dalam jam 8.00 pagi, Man pergi sarapan di gerai berhampiran. Di situ, sekali lagi Man sms Yanti.

"Yanti. Hari ni nak balik JB pukul berapa. Sebelum 12.00 tengahari boleh ker". Sms Man.

Sedang Man sarapan tu, Man terima satu sms dari Yanti.

"Maaf Man. Man baliklah JB seorang. Yanti tak sihat, nak ambil cuti sehari dua ni". Sms Yanti.

Man terkejut juga bila tahu yanti tak sihat sebab semalam ok jer. Mungkin sebab letih bekerja, naik kereta dan perubahan cuaca. Kemudian Man balas sms tu.

"Ok Yanti. Man gerak dulu pagi ni. Kalau gitu sempat juga niaga malam ni". Sms Man. Tapi sms itu tidak berjawab. Man hairan dengan perubahan yang berlaku dalam diri yanti kerana sebelum ni Yanti yang selalu sms tak berhenti-henti. Man rasa, mungkin Yanti sakit betul.

Di rumah, pagi tu Yanti kemas barang dan kata nak balik JB naik bas. Yanti kata, mak dan ayahnya tak perlu susah-susah hantarnya ke puduraya, Yanti boleh naik teksi sendiri. Maknya tak membantah, mungkin kerana anaknya kecil hati malam tadi. Bila Yanti hendak keluar rumah, emaknya terkejut kerana yanti bawa 2 beg yang besar. Yanti bawa banyak barang dalam biliknya. Emaknya terkejut dengan perubahan anaknya itu. Bila emaknya jenguk dalam bilik, memang Yanti bawa banyak pakaiannya keluar. Waktu itu, ayahnya masih belum keluar dari bilik.

"Kenapa bawa banyak barang Yanti ?". Tanya emaknya.

Yanti terdiam tidak terkata sebaliknya membawa terus dua beg besar itu ke depan rumah. Yanti memerhatikan teksi yang ditempahnya, belum lagi sampai. Yanti kemudian masuk ke bilik bapanya dan bersalaman. Emaknya memerhatikan dari belakang. Tak lama kemudian, datang teksi sambil membunyikan hon. Yanti bersalaman dengan emaknya dan memeluk emaknya sambil menangis.

"Maafkan Yanti mak.. maafkan Yanti". Kata Yanti sambil menangis.

"Jaga diri baik-baik Yanti. Sampai ke JB nanti telefon mak". Kata emaknya yang juga turut menangis sambil memeluk anaknya.

Teksi Yanti bukan menuju ke puduraya, tetapi menuju ke satu tempat di Gombak. Ke mana Yanti pergi ? Di rumah, emaknya menelefon abang Yanti yang sulung, menceritakan perihal Yanti yang bawa banyak pakaiannya balik JB. Abangnya terkejut dan meminta menahan Yanti supaya tidak keluar rumah tetapi Yanti sudah keluar sebentar tadi.

Di dalam teksi, Yanti hantar satu sms pada Man. Man waktu itu sedang memandu, hampir memasuki lebuhraya.

"Man. Sanggupkah Man sehidup semati bersama Yanti". Sms Yanti. Beberapa saat lepas tu, Yanti hantar satu lagi sms.

"Sanggupkah Man berkorban untuk hidup Yanti ?" Sms Man.

Man membaca sms itu sambil memandu, jadi tak dapat membalas sms terus. Terkejut dengan sms sebegitu, Man memberhentikan keretanya di satu stesen minyak. Man tak balas terus sms itu, tetapi memikirkan apakah ayat yang paling sesuai untuk membalas sms itu. Man memikir agak lama juga. Akhirnya Man memutuskan untuk tidak menjawab soalan itu, sms lain pula yang Man hantar.

"Yanti. Man tak begitu faham maksud Yanti. Apa maksud sehidup semati dan berkorban itu ?". Sms Man.

Menerima sms itu di dalam teksi, Yanti begitu sedih. Yanti merajuk dan terus tidak membalas sms Man. Bila mengetahui Yanti mula terasa hati, Man meminta maaf pada Yanti tapi mungkin sudah terlambat. Beberapa sms Man selepas itu tidak dijawab. Man cuba menelefon Yanti untuk bercakap tetapi tidak dijawab. Menyesal, bukan niatnya untuk melukakan hati Yanti.

Perjalanan Man dari KL ke JB itu agak terganggu sebab memikirkan sesuatu yang bukan-bukan mengenai masa depannya dengan Yanti. Man juga masih tak tahu apa yang berlaku di rumah Yanti malam tadi.

Tak lama kemudian, Yanti mendapat telefon dari abang sulungnya Kamal beberapa kali dail tapi Yanti tak jawab. Lepas tu abangnya yang kedua, Fuad pula telefon, juga Yanti tak jawab. Yanti rasa dirinya tidak tenteram dengan gangguan tersebut.

Yanti sampai di Gombak, di sebuah rumah dengan teksi tersebut. Rumah siapa itu ?

Bersambung episod 9...

Wednesday, October 20, 2010

Kilauan Kaca Episod 7

Tiba di KL dalam jam 6.30 petang, Man menurunkan Yanti di sekitar bandar. Yanti kemudian mengambil teksi untuk balik ke rumah ayahnya. Sampai di rumah dalam jam 7.15, Yanti kata balik naik bas dan keluarganya tidak mensyaki apa-apa. Man bermalam di hotel sekitar Jalan Masjid India malam itu. Sebelah malam, hampir kesemua abang dan kakak Yanti datang ke rumah ayahnya seakan ada kenduri besar juga. Sejak Yanti ada di rumah tadi, tidak ada satu pun soalan dari ayah atau ibunya berkenaan hasrat Yanti nak kawin itu.

Selepas makan malam, yanti duduk di bilik seakan tidak mahu berbual di ruang tamu bersama abang dan kakaknya. Yanti cukup risau dan sekali sekala timbul rasa menyesal kerana Yanti berterus terang kepada kakaknya Azizah sebelum ini. Tapi Yanti tabahkan hati, Yanti berazam akan terima apa saja kemungkinan yang berlaku. Jam lebih kurang 9.00 malam, ibunya memanggil Yanti keluar di ruang tamu. Berada di situ adalah abang-abang dan kakak-kakak Yanti, tanpa abang atau kakak iparnya yang berada di luar rumah. Abang Yanti yang kedua, Fuad yang mula-mula bersuara.

"Yanti. Kenapa pilih lelaki ni ? Tak ada lelaki lain ker ?". Kata abang kedua Yanti. Orang lain berdiam diri. Yanti tunduk sambil duduk, kemudian Yanti berkata.

"Abang, ayah, ibu, izinkan Yanti buat pilihan sendiri untuk mencari bakal suami Yanti. Yanti yang nak kahwin, Yanti tahu lelaki yang Yanti pilih". Kata Yanti. Suasana sudah mula bertukar jadi tegang dan Yanti seakan mahu menangis. Abangnya yang kedua itu pula sudah mula meninggikan suara.

"Pilihan sendiri kata kau ! Kalau lelaki yang bagus tak aper, ni penjual burger tepi jalan ! Tak ada lelaki lain ker ?" . Abang keduanya bersuara sambil berdiri.

Kemudian, abang Yanti yang sulung, Kamal menenangkan keadaan. Dia tak mahu perjumpaan itu jadi tegang.

"Ok. Yanti, kami nak tahu, kenapa kamu pilih lelaki tu. Kenapa dia jadi pilihan Yanti ?". Kata abang pertamanya dengan suara yang agak lembut.

Yanti tak jawab, malah mula menangis dengan banyaknya sambil menyesat air mata dengan lengan bajunya. Tiba-tiba kakaknya, Azizah bersuara. Azizah anak ketiga dalam adik beradik.

"Saya tak setuju kalau kita hina seorang penjual burger. Kenapa kita patut hina dia, tak baik kita pandang hina pada dia. Kita semua pun tak pernah tengok dan jumpa dengan orangnya. Yang penting pada kita, bolehkah lelaki ni jadi seorang suami yang baik. Yang dapat membimbing dan menjadi ketua keluarga. Janganlah kita awal-awal dah hina peniaga burger". Kata Azizah yang sudah mula meninggikan suara. Kemudian abangnya yang kedua menjawab.

"Saya taknak nama baik keluarga kita tercemar kerana jantan penjual burger ni ! " Kata abang keduanya seolah-olah menyindir. Yanti sudah tidak dapat menahan kemarahan, dia tak dapat terima perkataan 'jantan' itu. Yanti terpaksa menjawab sambil menjerit kemarahan.

"Abang ! Sampai hati abang hina dia macam tu, sampai panggil dia 'jantan'. Abang tu pun bukan baik sangat. Entah-entah abang tu lebih teruk lagi dari orang yang abang kata tu !". Kata Yanti.

Perasaan Yanti tidak dapat dikawal lagi. Secara sepontan, Yanti membaling bantal kecil penutup kusyen dan mengenai muka abang keduanya itu. Yanti kemudian lari dan masuk ke bilik, Yanti menutup pintu sambil menghempas kuat. Yanti mengunci pintu bilik dari dalam. Yanti menangis teresak-esak dalam bilik seorang diri.

Ibunya seakan ketakutan dan mengetuk bilik dan memangil Yanti tetapi Yanti tidak menyahut. Di luar, abang keduanya itu terus berkata sesuatu di hadapan bapa dan adik beradiknya.

" Ini semua sudah termakan dan terkena ilmu hitam mamat burger tu. Siap, nanti aku kerjakan mamat ni baru dia tahu siapa aku !" Kata abang keduanya. Tidak puashati dengan sikap abangnya, Azizah bersuara.

"Apa abang nak buat dengan Yanti! Kenapa adik beradik lain boleh cari jodoh sendiri, kenapa tak Yanti ?" Kata Azizah. Kemudian abang yang sulung pula bersuara.

"Betul tu Azizah, sapa kata tak betul. Nak cari jodoh sendiri tu carilah, tapi perlu restu dari keluarga kita. Kalau dah tak restu, takkan boleh jadi sebahagian keluarga kita". Kata abang sulungnya yang kerja pegawai kerajaan tu. Azizah terus membela Yanti.

"Kita semua mesti tahu perasaan gadis sekarang. Kalau hati dah terpaut dengan lelaki pilihan, takkan boleh bahagianya kalau dijodohkan dengan orang lain". Kata Azizah. Kemudian abang kedua membangkang.

"Lelaki pilihan lelaki pilihan juga. Tapi takkan lah mamat burger tu yang dia berkenan. Guna lah kepala hotak sikit. Tak guna belajar tinggi-tinggi !". Kata abang keduanya.

Melihat kerenah anak-anak yang bertengkar, bapa Yanti memegang dadanya sambil tunduk. Bapanya sudah hampir 70 tahun, ada sakit darah tinggi dan lemah jantung, pernah buat pembedahan pintasan jantung. Sambil tangan diletakkan di dada, bapanya mula bersuara.

"Abah dah besarkan kamu semua dengan pendidikan agama dan akademik yang baik. Abah tak mahu engkau orang semua bergaduh sesama adik beradik. Nanti kalau abah dah tak ada, tak tahulah engkau orang boleh bersemuka ke tidak.". Kata bapa Yanti dengan nada sayu.

Kemudian bapanya terus memegang dada dan menitiskan air mata. Melihat keadaan itu, ibu Yanti minta semua bertenang dan memimpin bapa Yanti masuk ke bilik tidur.

"Sudahlah! sudahlah! Mak panggil kamu semua ni nak berbincang, bukan nak bergaduh". Kata ibunya sambil memimpin bapanya masuk ke bilik.

Di ruang tamu, berlaku pertengkaran lagi di antara abang kedua, Fuad dan Azizah dengan diperhatikan adik beradik lain.

"Saya tak akan izinkan sama sekali Yanti kahwin dengan mamat burger tu. Tengoklah apa yang saya nak buat lepas ni". Kata Fuad.

"Sudahlah Fuad. Saya bukan kata nak menyokong lelaki pilihan Yanti tu tapi biarlah kita berbincang dengan elok. Kita dengarlah pandangan Yanti tu dulu, jangan terus menghentam dia. Sebab tu kita panggil dia balik sini. Dia tu perempuan, bukan lelaki, dalam keadaan macam ni kita kena cakap elok-elok dengan Yanti." Kata Azizah.

Abang pertama Yanti, Kamal menenangkan keadaan dalam usaha mendamaikan pertikaian itu.

"Oklah, ok. Tak guna kita bertengkar, kita nak bincang dan nak cari jalan penyelesaian. Abang rasa kita semua baliklah dulu. Tak ada gunanya kita terus berbalah macam malam ni. Tengok abah pun dah macam tak sihat. Rasa elok kita bincang di rumah abang di Shah Alam dalam dua tiga hari ni. Bila dah ada penyelesaian, barulah kita beritahu abah dan mak. Lepas tu kita jelaskan pendirian kita pada Yanti." Kata abangnya, Kamal dan yang lain diam tanda setuju.

Man malam itu jalan-jalan di sekitar Jalan Masjid India. Man ada hantar sms pada Yanti beberapa kali tetapi tiada jawapan. Man rasa, mungkin Yanti sedang sibuk atau sudah tidur. Sehingga Man tidur jam 11.30 malam, Man tetap menanti balasan sms dari Yanti tetapi tiada.

Bersambung...

Saturday, October 16, 2010

kilauan kaca episod 6

Man serba sedikit rasa cemas dan tidak mustahil dia akan berpisah dengan Yanti. Kalau Yanti di Selangor atau KL, Man di JB, sudah tentu sukar untuk mereka meneruskan perhubungan. Man memberanikan diri untuk menyatakan hasrat untuk meminang Yanti dalam tempoh terdekat. Mak dan ayah Man bersetuju tetapi Yanti pula yang ada masalah untuk bercerita dengan keluarganya. Bagaimanapun, mahu tak mahu, Yanti terpaksa berterus terang. Kalau boleh, Yanti mahu terus tinggal di JB untuk membina rumahtangga bersama lelaki pilihannya. Kalau nak difikirkan jauh, JB-KL bukannya jauh sangat, naik bas 4-5 jam saja, naik kereta lagi boleh cepat.

Yanti tak mahu berterus terang dengan ibubapanya sebab Yanti merasakan terlalu sukar untuk berbuat demikian. Jadi Yanti gunakan kakaknya sebagai perantara. Kakaknya yang nombor tiga, Azizah, bekerja sebagai pegawai eksekutif di Selangor, sudah ada anak 3. Yanti lebih mesra dengan kakaknya ini sebab masa belajar dulu di KL, Yanti sering ke rumah kakaknya. Suatu malam, Yanti dengan beraninya menelefon kakaknya itu dan menyatakan hasratnya. Dalam berbual itu, kakaknya tidak terlepas untuk bertanya soalan mengenai pekerjaan lelaki pilihan Yanti.

"Lelaki tu kerja apa ?". Tanya kakaknya. Yanti serba salah untuk jawab, tapi terpaksa jawab. Cuma Yanti pada mulannya ingin berselidung sikit.

"Dia berniaga makanan di JB". Kata Yanti seolah-olah tidak mahu menjawab dengan tepat.

"Ada restoran sendiri ker ? . Apa nama restorannya? ". Tanya kakaknya lagi. Soalan ini membuatkan Yanti terperangkap. Apa nama restoran pulak Yanti nak beritahu.

Kemudian, secara tak sengaja atau terpaksa, Yanti beritahu juga yang lelaki pilihannya itu seorang peniaga burger di JB. Mendengar jawapan itu, kakaknya seakan terkejut dan terdiam seketika. Yanti tertanya-tanya, kenapa kakaknya terdiam.

"Kak. Lelaki ini baik dan sesuai dengan Yanti". Jelas Yanti, sedangkan kakaknya tak tanya pun soalan yang jawapannya sebegitu.

Kemudian kakaknya kelihatan tenang semula, seakan memahami perasaan Yanti. Sebagai kakak yang sudah berkeluarga, Yanti rasa kakaknya dapat mendalami perasaannya. Lama juga berbual, hampir 20 minit. Yanti berjaya meluahkan perasaan sebenarnya kepada kakaknya. Kakaknya tidak menghalang malah memberi kata-kata perangsang pada Yanti.

"Yanti. Nak bina rumahtangga ini bukan semudah yang kita jangka. Kak harap pilihan Yanti ini tepat dan sesuai dengan Yanti. Kak tak kisahlah lelaki itu kerja apa asalkan hidup Yanti bahagia. Suami yang berjawatan tinggi pun belum tentu dapat membahagiakan keluarga". Kata kakaknya.

Yanti berterima kasih dengan kakaknya. Cuma harapan Yanti, supaya hasrat ini dipanjangkan kepada mak dan ayahnya. Yanti berharap, kakaknya dapat meyakinkan mak dan ayahnya nanti.

Malam itu juga, Yanti ke gerai burger Man dan sempat berbual panjang juga. Yanti ceritakan yang dia sudah beritahu kakaknya malam itu dan Yanti yakin, kakaknya akan menyokongnya.

Keesokannya, abang kedua Yanti telefonnya. Abangnya nak tahu, yang lelaki pilihan Yanti berniaga di mana. Pada Yanti, tentu abangnya nak kenal lanjut dengan Man dan Yanti tak mahu berahsia lagi. Yanti beritahu lokasi dan nama jalan, di sebelah kedai apa dan nama "Burger Man". Abangnya ini selalu ada urusan kerja di JB dan pada Yanti, mungkin abangnya nak berkenalan dengan Man, bisik hati kecil Yanti.

Kemudian ayah Yanti pula telefon. Kali ni minta Yanti balik ke KL pada hujung minggu ini. Yanti pada mulanya keberatan kerana ada tugas luar di JB hari Sabtu. Bagaimanapun, ayahnya tetap mahukan Yanti balik ke KL juga petang Sabtu. Sebagai anak, Yanti terpaksa akur dengan kemahuan ayah dan ibunya. Oleh kerana kepenatan untuk memandu kereta sendiri dan tak mahu terkejar-kejar naik bas, Yanti mengajak Man sama-sama ke KL.

"Man. Kalau Man sayangkan Yanti, Man ikut sama Yanti ke Kuala Lumpur Sabtu ni". Kata Yanti. Man terdiam seketika sambil merenung Yanti. Man jadi hairan dan terkejut, kenapa pula Yanti ajaknya ke KL.

"Ikut ke KL ? Bagaimana dengan keluarga Yanti nanti, apa kata mereka ?". Jelas Man.

"Tak apalah, kalau Man tak mahu teman Yanti tak apalah". Kata Yanti dan suaranya sudah mula sebak seolah-olah mahu menangis.

"Yanti... bukan begitu Yanti. Bukan Man tak sayangkan Yanti. Man tak berani nak berdepan dengan keluarga Yanti". Kata Man seolah-olah memujuk Yanti kerana dilihatnya Yanti seakan merajuk.

"Bukan suruh Man jumpa keluarga Yanti. Man hantar saja Yanti dan Man tidur di mana-mana hotel di KL tu. Kurang-kurang Man ada di KL, Yanti rasa lebih berani nak hadapi semua ini. Kalau mak ayah tanya, Yanti kata Yanti naik bas". Jelas Yanti.

Mendengar penjelasan itu, Man pun faham dan bersetuju untuk ikut sama ke KL. Maka hari Sabtu, mereka bertolak dari JB jam 1.00 tengahari naik kereta waja Man

Thursday, September 30, 2010

Kilauan Kaca Episod 5

Episod 5

Perniagaan Man terus maju walaupun orang tak berapa pandang dengan seorang penjual burger. Man suka baca buku 'jutawan senyap' kisah seorang yang ada kelulusan tinggi sehingga phd tapi lingkup dalam perniagaan. Jadi, pada Man, bukan semestinya belajar pandai-pandai untuk berjaya. Yang penting adalah usaha. Bagaimanapun, Dr Rosly di dalam buku yang dia baca tu akhirnya boleh bangkit semula walaupun sudah jatuh muflis.

Man bukan beli satu buku yang ditulis oleh Dr Rusly, malah 3 buku yang Man selalu baca ulang-ulang. Dr Rusy dulu pernah berniaga daging burger, roti burger dan aksesori lain untuk buat burger. Kira glamour lah jadi tauke niaga burger. Tapi perniagaan besar ini akhirnya memufliskan dan melingkupkan Dr Rusly hingga rumahnya kena rampas bank depan anak-anak. Dr Rusly sebelum berniaga besar adalah seorang pegawai bank yang ada juga pernah rampas harta orang yang tak bayar duit bank. Tapi bila harta benda Dr Rusly kena rampas dengan bank, barulah Dr Rusly menyalahkan pihak bank dan anggap orang yang rampas rumahnya sebagai zalim. Inilah kebesaran Allah Taala yang adil pada hambanya. Hidup ini adalah putaran roda, jadi jangan menghina seseorang yang susah, suatu hari nanti mungkin kita akan mengalaminya.

Dalam buku yang Man baca tu, kesimpulan yang dibuat oleh penulis adalah, berniaga dari kecil dahulu kemudian barulah jadi besar. Jangan terus jadi besar dan tinggi lepas tu kempis dan jatuh terterap. Atas semangat dan ransangan itulah, Man tinggalkan kampung dan hidup berhempas pulas di bandar JB. Di JB ini bukan semua orang boleh berjaya, ada yang berjaya setahun dua lepas tu hancur berkecai. Man tak mahu berhutang besar, cukuplah dia pinjam duit mak dia dalam 1,000 dulu. Man rasa besalah juga sebab Man kata duit seribu yang dipinjam dari emaknya itu ditemberangnya nak beli moto baru, tapi nak buat modal niaga jual burger. Man sedikit ada rasa bersalah tetapi sudah minta maaf pada ibunya dan pada Man dia telah menebus kesalahannya dengan memberi wang bulanan yang banyak kepada ibunya termasuk beli rantai emas.

Man ada kereta waja baru yang dibeli cash, bukan hutang, dalam 69,000 waktu itu. Bukan niat Man nak beli tunai tapi orang bank pandang sinis bila Man kata kerja penjual burger. Bank pertama awal-awal dah tolak. Bank kedua nak suruh cari 'penjamin' yang kerja tetap, Man tak ada kawan. Lagipun Man tak mahu kawan nanti jadi bermusuhan kalau apa-apa hal berlaku kalau dia tak bayar bulan. bank ketiga pula kata boleh buat loan dan minta tempoh dalam 2 minggu. Tapi jawapannya mendukacitakan. Itulah nasib Man sedangkan pendapatan Man lebih dari 12,000 sebulan. Ada juga kawan Man kata, boleh tipu pekerjaan, mengaku kerja kontraktor untuk dapat pinjaman bank. Tapi Man bukan manusia yang suka hidup menipu.

Man tak pernah beritahu sesiapa pun gaji dia 12,000 itu termasuk mak dan ayahnya. Bukan apa, nanti ibubapanya mcam tak percaya. Yang tahu gaji Man, sudah tentu pekerjanya seorang, itupun tak tahu sangat. Pekerja dia gaji RM 30 sehari, kemudian naik RM 50 sehari sebab dah mahir. Man tak dapat lari dari fitnah dalam berniaga ni. Man baru beberapa tahun di taman itu tapi orang nampak pelanggan Man ramai. Ada orang kata burger man taruk dadah untuk kasi sedap, tapi Man tak kisah. Dan Man bersedia kalau polis narkotik datang buat pemeriksaan mengejut. Man seorang yang baik dan pandai menjaga hati pelanggan. Semua lapisan masyarakat dan pekerjaan ada termasuk pegawai kerajaan, kerja industri dan lain-lain, Man tak sombong.

Hidup Man penuh bermakna bila dapat berkenalan dengan Yanti, gadis yang cantik manis itu. Man tak menyesal berniaga burger malah bersyukur kerana dia dipertemukan dengan Yanti di gerai burger itu. man rasa, kalau dia tak berniaga burger di situ, tidaklah dia dapat kenal dengan gadis kecil molek itu. Yanti banyak beri galakan pada Man supaya bekerja dan berusaha untuk maju dalam perniagaan Man. Kehadiran Yanti dalam hidup Man semakin meningkatkan motivasi dalam hidup Man. Hampir setiap hari Yanti datang ke burgernya atau sekurang-kurang melambai tangan dari dalam kereta sebab susah nak cari tempat letak kereta. Kalau Yanti ada tugas luar, setiap hari masuk sms bertimbun dengan kata-kata nasihat dan sudah pastinya ada ayat-ayat cinta.

Yanti sudah meningkat usia kepada 26 tahun, manakala Man 28. Man rasa sudah sampai seru untuk menamatkan zaman bujangnya bersama Yanti. Selama ini, ibu bapa yanti dan abang-abangnya tidak tahu perhubungannya dengan Man di JB. Ayah Yanti seorang yang berada, berasal dari Utara dan sudah menetap lama di Kuala Lumpur. Yanti anak bongsu dari 7 orang adik beradik. Semua adik beradik yanti sudah kahwin dan semuanya kahwin dengan orang yang berada juga. Abang dan kakak Yanti semuanya belajar tinggi hingga ke universiti malah beberapa orang juga belajar hingga ke luar negara. Semuanya kerja hebat-hebat dalam swasta, perniagaan dan pegawai kerajaan kebanyakannya di Kuala Lumpur.

Untuk membuka mulut kepada keluarga Yanti, bukannya mudah. Dulu masa nak masuk universiti pun, abang-abangnya banyak masuk campur. Abangnya menghalang Yanti ke luar negara walaupun ada biasiswa. Sebab itu Yanti belajar di dalam negara saja. Ini membuatkan Yanti tawar hati kepada abang-abangnya. Kenapa abang-abangnya boleh belajar ke luar negara tapi tidak Yanti ? Yanti masih ingat perkara itu walaupun dah masuk 5-6 tahun yang lepas.

Suatu hari, ayah dan mak Yanti bersama beberapa anak sedara dan sepupu datang ke JB. Mereka tidur di hotel dan menjenguk rumah Yanti sekejap-sekejap. Yanti gembira dengan kehadiran mak ayahnya di JB tapi ada sesuatu yang Yanti cukup sukar hendak dijawab.

"Yanti. Abah datang ni kalau boleh nak pindahkan kamu ke Kuala Lumpur atau Selangor. dekat sikit dengan mak dan abah". Ayah Yanti kata. Yanti tergamam seolah-olah ada sesuatu yang berat untuk diperkatakan.

"Kalau boleh, buat masa ini biar dulu abah. Lagipun masih baru kerja, belum confirm lagi. kalau tukar-tukar nanti mungkin ada masalah lain pula.". Kata Yanti yang cuba menyembunyikan sesuatu.

Selepas mak ayahnya pulang, Yanti cukup cemas, tapi nasib baiklah ayahnya boleh percaya cakap Yanti. Yanti bimbang sebab ayahnya ada ramai kawan yang boleh dia minta tolong untuk bertukar. Itu bukan masalah pada bapanya. Yanti tidak mahu tinggalkan Man walaupun pada mulanya Yanti berahsia dengan Man. Tapi akhirnya Yanti terpaksa luahkan pada Man dalam smsnya. Mulanya Yanti kata dia demam, tapi Yanti gagal menyimpan rahsia tersebut. Lebih mencemaskan Yanti, bila abangnya dan kakak iparnya pula menelefon, mengatakan di sana ada kosong. Bila-bila masa saja boleh pindah meninggalkan JB. Bagaimana kesudahannya.....

Wednesday, September 15, 2010

"Kilauan Kaca" Episod 4

Episod 4

10 minit kemudian Ajis pomen tu datang dengan seorang lelaki, mungkin pekerjanya. Man rasa cepat sangat Ajis dah sampai, belum lama lagi rasanya Man berbual tadi. Ajis tengok enjin dan dapati ada air.

"Tadi ada cuci enjin ker ?". Tanya Ajis.

"Yer. Tadi cuci enjin dah lama tak cuci enjin". Kata Yanti.

"Ermmm, enjin ni jangan selalu cuci, kekadang kedai cuci kereta ni tak mahir sangat. Habis masuk air dalam 'distributer atau alternater atau stater'. Tempat tu sensitif. Atau pun, air masuk dalam plak, nanti saya cek dulu". Ajis.

Ajis periksa satu persatu dan sekali sekala pembantunya start tapi masih belum hidup. Ajis kata kereta tu kena bawa ke bengkel untuk buka alternater atau distributer, susah sikit kena guna alat.

"Macam ni lah Man. Masa pun dah dekat pukul 7 ni, dah mula gelap. Nanti saya panggil kereta tarik datang, ni kena buat kat bengkel saya". Kata Ajis.

"Oklah Ajis. Agak-agak ni bila boleh siap, sempat ke hari ni ?" Tanya Man.

"Macam nilah. Saya cuba buat malam ni. Tapi kalau tak sempat kena pagi esok". Jelas Ajis.

Man setuju dan ajak Yanti naik kereta wajanya berdua sahaja. Manakala Ajis dan pekerjanya mengiringi kereta tarik yang datang ke situ. Maka sempatlah lagi Man berdua dan berbual dengan Yanti. Maka kenallah Man, siapa dia Yanti yang dipanggilnya Shiela majid sebelum ni.

Yanti, berusia 26 tahun berasal dari sebuah negeri di Utara. Dia belajar sehingga ijazah di sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur. Yanti hampir setahun berkhidmat dengan sebah jabatan kerajaan di JB dan duduk menyewa dengan seorang lagi kawannya yang satu pejabat. Man juga menceritakan latarbelakang dirinya tanpa berselindung. Yanti memuji Man yang lurus dan jujur dalam persahabatan.

"Yanti suka seorang yang jujur dan ikhlas. Sebelum ini Yanti pernah kawan dengan seorang tu tapi suka menyembunyikan sesuatu. Rupanya menipu pekerjaan, mengaku jadi kontraktor tetapi kerja biasa saja". Cerita Yanti yang Man rasa yanti pernah kecewa sebelum ini dengan seseorang.

"Sekarang masih kawan lagi ke dengan lelaki tu". tanya Man.

"Sekarang ? Tak apalah, itu cerita lama, tak perlu dikenang lagi". Jelas yanti.

15 minit lebih perjalanan, Man hantar hingga ke rumah. Barulah Man tahu, duduk di blok A tingkat 4, nombor rumah pun Man tahu.

"Ok. Yanti, nanti kalau kereta siap Man telefon." Kata Man sebelum Yanti balik.

Tak lama kemudian Ajis telefon, kereta dah siap. Upah semuanya RM 80 termasuk upah tarik kereta, Man yang bayarkan. Kemudian Man ajak Ajis hantar sehingga ke rumah Yanti, Man naik waja, manakala Ajis bawak satria. Man telefon yanti dan Yanti terkejut bila tengok keretanya dah siap, sekejap saja.

"Kereta ni tadi masuk air dalam distributer, tadi dah bukak dan cuci. Sekarang semua dah ok". Kata Ajis pada Yanti.

"Terima kasih yer, berapa upah semuanya ?" Tanya Yanti.

"Tak apa. Man dah bayar". Kata Ajis.

Yanti hulur duit pada Man tapi Man taknak ambil.

"Tak apa. Sikit saja ni, tak aper, tak aper". Kata man dan terus start kereta dan jalan.

Beberapa minit kemudian, di gerai burger, Man dapat satu sms dari Yanti.

"Terima kasih kerana sudi membantu saya. Maaf kerana sanggup luangkan masa bantu saya". Sms Yanti.

"Terima kasih kembali". Man sms pendik saja sebab masih malu-malu.

Dari situ, bermulanya perkenalan mereka seterusnya menjadi pasangan kekasih. Bagaimana perhubungan mereka ? Yanti seorang pegawai kerajaan yang ada ijazah. Man cuma seorang penjual burger, cuma ada SPM yang tak berapa tinggi. Beberapa bulan mereka berkawan rapat, akhirnya mereka rasa ada keserasian untuk membina rumahtangga bersama.

Yang Yanti pilih bukan harta dan jawatan, tapi kesetiaan dan kejujuran. Yanti percaya, Man boleh menjadi suami yang baik dan dapat membimbing isteri. Suatu hari, anak kepada mak sedara Man buat majlis kerja kahwin di kampung, iaitu di sebelah rumah Man. Man jemput Yanti dan Yanti datang dengan kawan serumahnya. Sempat Man perkenalkan Yanti dengan ibunya dan sempat minum, kopi di rumah Man.

Ibu Man tak menghalang akan pilihan anak sulungnya itu. Sebagai seorang ibu, yang penting adalah hendak melihat anaknya hidup bahagia. Yanti pula seorang yang peramah dan cepat mesra. Walaupun baru sehari berjumpa, seakan sudah kenal lama. Yanti boleh sesuaikan dirinya dengan suasana kampung walaupun yanti orang bandar.

Keesokan harinya, masa Man dah balik JB, Man telefon ibunya. Ibunya nampak ceria dan gembira dapat berkenalan dengan Yanti. Malah ibunya memuji Yanti sebagai gadis yang cantik dan pandai mengambil hati orang tua serta tidak sombong. Man juga menyatakan hasrat kepada ibunya untuk meminang Yanti tak berapa lama lagi dan ibunya setuju.

Tapi... bagi Man bukan semudah itu. Ada banyak lagi jalan dan halangan yang perlu ditempuhi.