Towkay atau Tok Peraih yang membeli padi dari Pak Tani akan membelinya dengan harga yang murah. Ertinya Tok Peraih membeli dengan harga yang tidak setimpal dengan nilai masa, tenaga dan fikiran Pak Tani. Tok Peraih akan menjual padi ini sekali lagi dengan harga yang tinggi dan ini dipanggil untung. Untung ini sebenarnya ialah nilai lebihan hasil dari tenaga, masa dan buah fikiran Pak Tani yang menanam padi.
Padi yang telah menjadi beras ini akan bertukar tangan sahingga sampai kepada pengguna. Dalam perjalanan dari sawah ke meja makan maka orang-orang tengah ini akan menokok dan menambah nilai harga tenaga asal titik peluh Pak Tani. Si Pengilang, Si Pembungkus, Si Pengangkut, Si Pengiklan dan Si Peruncit mereka semua ini adalah orang tengah yang hidup kaya raya diatas titik peluh Pak Tani.
Orang-orang tengah ini berlegar-legar memanipulasi perniagaan untuk mendapat keuntungan maksima. Justeru itu pengilang beras jadi kaya pengedar beras jadi kaya dan pembekal beras jadi kaya. Jangan terperanjat ada di antara peniaga beras tersenarai di Bursa Saham Wall Street. Namun mereka ini tidak pernah melihat sawah dan padi tetapi mereka kaya raya berniaga padi dan beras. Yang terus miskin ialah si Pak Tani. Ini lah satu contoh dalam sistem ekonomi kapitalis dimana harta kekayaan boleh dibuat dengan menggunakan tenaga, masa dan fikiran orang lain.
Mekanisma yang dikatakan menilai harga padi dari Pak Tani ialah Pasaran atau Market. Ini sebenarnya satu pembohongan. Pasaran ini di kawal oleh tuan-tuan pemodal sendiri. Tok Peraih, Si Pengedar, Si Pembekal mereka semuanya memiliki persatuan yang menjaga kepentingan mereka. Dengan modal besar yang terkumpul mereka mengawal harga untuk memastikan mereka terus mendapat keuntungan maksima. Mereka memastikan harga padi atau apa sahaja yang mereka beli akan terus murah dan manakala harga beras atau apa sahaja yang mereka jual untuk pengguna akan terus mahal.
Pak Tani telah dipisahkan dari orang yang ingin membeli beras. Ruang pisah ini telah dimasuki oleh Orang Tengah atau Lintah Darat yang kerjanya hanya mengaut untung. Untuk mengindah muka hodoh Lintah Darah ini mereka memanggil diri mereka Ahli Perniagaan, Usahawan, Pemaju, Pengimpot, Pengekpot atau Pengedar. Hakikatnya mereka hidup diatas usaha orang lain.
Bersambung siri 3...
No comments:
Post a Comment